Panji Iman Bani Jawi Sedunia

Monday, July 19, 2010



Pulau Besar Pulau Keramat



Penyebaran Islam Nusantara

Pemandangan Pulau Besar dari Atas


Kerinduan yang mendalam dan kasih kepada auliya Allah akan membenihkan Iman. Beginilah pertama kali kami sampai ke Pulau Besar Melaka setelah diceritakan oleh sahabat kami yang telah berkunjung sebanyak 7 kali. Kami telah mendengar kekeramatan Pulau ini
.

Kami sampai ke Jeti Anjung Batu pada pukul 12.00 tengahari pada hari Ahad 27 Jun 2010. Hati tidak sabar untuk sampai ke Pulau Besar. Kami seramai 5 orang meninjau-ninjau jauh pemandangan ke Pulau Besar dan hati bertanya "Bagaimana kekeramatan Pulau Besar itu".



Semakin dekat feri menghampiri Pulau, semakin berdebar-debar hati kerana Pulau ini adalah tempat bermula penyebaran agama Islam di Kepulauan Melayu pada ketika masa dahulu. Jika tidak kerana mereka, kita kini masih menyembah batu atau pokok dan yang kaya menyembah berhala. Walau pun keadaan kami daif dengan kewangan, perbelanjaan kami hanya RM200 sahaja, tetapi hati kami puas dan belanja kami mencukupi. Ini satu petanda rahmat daripada Allah yang mencurah-curah kerana kami berniat baik ingin menjejaki tapak auliya-auliya Allah.

Sesampai di Pulau, kami terus menyewa chalet bertepatan kami lima orang, dengan terkejut kami tidak menyangka nombor chalet kami ialah 005. Macam dijanjikan sahaja dan itulah petanda permulaan yang baik bermakna kami disambut dengan gembira oleh penduduk di sana. Setelah membersihkan diri, kami berjemaah menuju ke makam Sultanul Arifin. Sekali lagi kejutan, pintu pagar makam itu telah sedia terbuka untuk kami masuk menziarahi makam dengan lebih dekat lagi sedangkan kebiasaan pintu pagar perkarangan makam itu dikunci bagi mengelakkan khurafat. Ini adalah satu petanda lagi sambutan terhadap kami.

Dengan tenang sekali, kami pun bermunajat kepada Allah dan menghadiahkan Al-Fatihah kepada seluruh penduduk makam di situ. Mereka sebenarnya 16 orang datang dari Madinah ke Pulau Besar ini.

Tidak lama kemudian, azan pun berkemundang menandakan masuk waktu zohor lalu kami segera menuju ke surau bersebelahan perkarangan makam itu. Selesai solat berjemaah, kami bersalam-salaman sambil berselawat ke atas Nabi. Hati kami merasa terharu, sebak, gembira pun ada dan kami terbayang pengorbanan Sultanul Arifin dan pengikut-pengikutnya yamg sanggup datang ke tempat yang asing bagi mereka demi menyebarkan agama Islam terhadap Bani Jawi.






Satu lagi kejutan, selesai kami bersalaman, kami dijemput menikmati juadah tengahari, nasi putih kari kambing yang tak disangka--sangka. Kami sudah kekurangan wang perbelanjaan dan hanya berserah kepada Allah untuk memberi rezki sesuap dua makanan tetapi dengan segera hajat kami dimakbulkan oleh Allah.

Selepas kami menikmati juadah, kami pun kembali ke chalet nombor 005 untuk beristirehat sambil berbual-bual tentang kesah hidup Sultanul Arifin serta pengikutnya. Kami juga bermesyuarat secara sunnah untuk perjalanan kami seterusnya pada petang ini. Keputusan telah dibuat, kami mula-mula akan melawat gua Yunus.



Selepas kami menunaikan solat Asar di surau secara berjemaah, kami memulakan langkah perjalanan kami menuju ke Gua Yunus. Kami melalui jalan-jalan dan berjumpa dengan telaga dan makam Nenek Kebayan sebelum sampai ke gua Yunus. Gua Yunus terletak di tepi laut, di dalam batu-batu berwarna putih. Kami melalui padang golf terlebih dahulu dan menuju ke tepi laut.



Sampai kami ke Gua Yunus setelah melalui jalan-jalan di atas bukit dan batu-batu. Untuk masuk ke dalam Gua Yunus, seseorang itu mesti menyelam dahulu ke dalam air melalui lubang gua. Dipercayai bahawa Syeikh Yunus menjumpai gua ini dan bersuluk di dalamnya. Di atas batu ini ialah tempat beliau bermunajat.




Kami bergambar di atas batu Gua Yunus sebagai kenang-kenangan.




Waktu senja semmakin hampir, lebih kurang waktu itu pukul 6.30 petang. Puas juga kami menyelidik untuk mendapatkan kedudukan sebenar Gua Yunus tersebut sehingga terpaksa menyinting seluar dan berjalan meredah air yang melitupi batu-batu di situ. Kami sebenarnya tidak berani masuk ke dalam gua tersebut kerana perlu menyelam terlebih dahulu, bimbang kalau menyelam nanti, kami tidak dapat kembali atau tidak dapat keluar.
Hanya kami berlima sahaja di situ dan tidak ada orang tempatan yang boleh menunjukkan kami kedudukan sebenar gua itu. Lagi pun ia bahaya dengan keadaan lubang gua itu berderum di pukul ombak seolah-olah menyedut lubang gua itu dari bunyi ombak yang kami dengar.

Melihat hari sudah senja, kami menuju jalan pulang. Cuma kami berpusing melalui jalan lain yang menuju ke Paradise Hotel melalui padang golf.



Setiba kami ke chalet melalui padang golf dan Paradise Hotel, tepat masuk waktu Maghrib. Kami menunaikan solat Maghrib secara berjemaah. Seorang sahabat yang baru kami kenali datang bertanya rancangan kami pada malam ini. Kami bercadang untuk tracking selepas Isyak ini ke Batu Belah. Sahabat kami yang baru itu, namanya Abdul Rahman Auf, macam nama sahabat Nabi menyatakan ingin mengikuti kami dan menunjukkan jalan kepada kami. Lagi pun beliau sudah dua tahun bekerja di pulau ini sebagai pemandu pelancong.

Selepas solat Isyak, kami sekali lagi dijemput makan percuma di khemah mamak 786. Sementara itu kami membaca surah Yasin di perkarangan makam Sultanul Arifin sebelum menjamah makanan. 'Man' nama panggilannya yang ingin mengikut kami setia menunggu sehingga kami selesai makan dan kami pun memulakan tracking ke Batu Belah.

Dalam perjalanan itu, Man berjalan di hadapan sekali dengan salah seorang kami sambil berbual. Beliau menunjukkan jalan-jalan yang kami tidak ketahui.